JOHOR TINGKAT PENGELUARAN, KUKUHKAN SEKURITI MAKANAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan mesyuarat sekuriti makanan peringkat Negeri Johor, semalam | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusikan mesyuarat sekuriti makanan peringkat Negeri Johor, semalam.

 

Menurut beliau, Johor akan terus meningkatkan produktiviti pengeluaran bahan makanan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negeri ini.

 

“Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk menjamin bekalan kepada rakyat, selain menjadikan Johor sebagai ‘food basket’ kepada Malaysia, ‘food bank’ di rantau ini serta meningkatkan lagi eksport negeri ke luar negara.

 

“Sebagai contoh, sebanyak 18 tan atau 12 ribu biji nanas daripada Kulim Pineapple Farm telah mula dieksport kepada negara Jerman dan akan dipertingkatkan pada masa hadapan,” katanya menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk meningkatkan lagi produktiviti makanan.

 

“Kita juga akan terus mencari dan memperkenalkan mekanisma bagi mengurangkan harga bahan makanan berkualiti, demi kesenangan dan kelangsungan makanan Bangsa Johor,” katanya.

 

Turut hadir, EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, Dato’ Zahari Sarip; Timbalan Setiusaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Mohamed Ridha Abd Kadir serta Timbalan Setiusaha Kerajaan Johor (Pemantauan & Kesejahteraan Rakyat), Shubanah Yusuf.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor