MB JOHOR TEKAD BASMI KEMISKINAN MENJELANG 2027
ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan tekad untuk membasmi kemiskinan tegar di negeri Johor menjelang 2027.
Onn Hafiz berkata, disebabkan iltizam itu juga menyebabkan Kerajaan Negeri sama sekali tidak pernah melupakan golongan yang memerlukan.
“Johor dalam hala tujunya, kita nak pastikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang 2030. Kita mempunyai populasi penduduk sebanyak 4 juta orang dan daripada jumlah itu kita mempunyai rekod bawah masih ada lagi mereka yang miskin… masih ada lagi yang bukan sahaja miskin tetapi miskin tegar.
“Seramai 4,700 orang dikategorikan sebagai miskin tegar dan saya telah berbincang dengan sahabat saya YB Ah Soon dan YB Khairin dibantu oleh agensi seperti JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) dan sebagainya.
“Perlu kita gembleng tenaga, merapatkan saf untuk memastikan angka ini sifar dalam masa lima tahun. Ini satu tanggungjawab bukan sahaja saya sebagai Menteri Besar tetapi tanggungjawab semua pemimpin yang berada di dalam dewan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Keluarga Johor 2023 di Kompleks Sukan Educity di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerjaan Johor (Bahagian Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat), Hajah Shubanah Yusuf dan Ketua Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Noor Faezah Md Esa.
Bercakap menerusi hati nuraninya, Onn Hafiz berkata, sebagai seorang yang beragama Islam sudah pasti apa sahaja yang dilakukan pada hari ini akan disoal kelak di Padang Masyar.
“Di depan tuhan kita kena jawab sama ada kita telah melunaskan tanggungjawab kita sebagai pemimpin kepada rakyat. Saya percaya tidak ada satu agama pun yang menghalalkan pemimpinnya tidak bertanggungjawab.
“(Justeru) Kita di Johor, kita nak semua pemimpin kita bertanggungjawab. Sebagai seorang pemimpin, tidak kiralah di peringkat mana pun , kita nak mengejar kebaikan dan menjadi orang yang bertakwa dan memastikan orang di bawah kita terus terbela,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, hal ini menjadi dorongan kepada Kerajaan Negeri ketika pembentangan Belanjawan Johor 2023 telah memperuntukkan hampir RM10 juta kepada YKPDT bagi membantu rakyat yang memerlukan.
“Tidak cukup dengan itu, kita juga bekerjasama dengan JKM. Hampir RM52 juta Kerajaan Negeri peruntukkan dan dibantu peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam setahun ini, berkat gabungan semua pihak termasuk MAIJ, NGO lain di bawah Kerajaan Negeri, hampir 150,000 orang dibantu pada tahun lepas dan usaha ini kita akan teruskan supaya tidak ada mana-mana golongan yang tercicir,” katanya.
Onn Hafiz berkata, justeru semua pihak perlu memainkan peranan dan jika semangat perpaduan ini dapat diteruskan, Kerajaan Negeri yakin visi untuk memastikan Johor Sifar Miskin menjelang 2027 akan dapat direalisasikan.
Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan menerusi JKM juga telah memperuntukkan RM265.5 juta yang memanfaatkan 54,223 penerima selain statistik menunjukkan daerah Johor Bahru adalah daerah penerima tinggi dengan seramai 12,231 orang memababitkan peruntukan sebanyak RM5.119 juta.
Diperingkat negeri, sejumlah RM9.972 juta diperuntukkan kepada YPKDT untuk melaksanakan 10 inisiatif penting yang dijangka memberi manfaat kepada 100,000 golongan sasar seperti golongan miskin, anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.
Daripada jumlah itu, sejumlah RM6.471 juta adalah peruntukkan pembangunan Pejabat Menteri Besar Johor sendiri.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor