MBJB PERUNTUK RM30 JUTA LAKSANA PROJEK PENGINDAHAN BANDAR

YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar MBJB mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan 4/2025. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk melaksanakan projek pengindahan bandar bagi meningkatkan imej bandar raya ke arah lebih moden, berdaya huni dan mesra pelancong menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Projek berimpak tinggi tersebut melibatkan kerja menaik taraf landskap serta sistem pencahayaan dan jalan raya di sekitar pusat bandar Johor Bahru termasuk pembentukan elemen menampilkan nilai tradisional yang menjadi identiti negeri dan Bangsa Johor.
Sebanyak lapan lokasi utama dikenal pasti bagi pelaksanaan kerja naik taraf antaranya Monumen Sultan Abu Bakar, Linear Dato’ Onn, Segi Tiga Bukit Timbalan, Laman Tun Sri Lanang, Persiaran Abu Bakar Sultan, Jalan Ibrahim, Jalan Bukit Timbalan, Jalan Syed Mufti dan Segi Tiga Jalan Ungku Puan.
Kesemua projek pengindahan berkenaan dirangka berlandaskan Rancangan Tempatan MBJB dan selari dengan hasrat menjadikan Johor Bahru sebuah bandar raya mesra pejalan kaki, ‘vibrant’ dan moden terutama menjelang kehadiran 12 juta pelancong dari dalam dan luar negara seperti disasarkan Kerajaan Negeri.
Selain itu, MBJB juga akan melaksanakan kerja-kerja mengecat bangunan lama di empat zon sekitar pusat bandar melibatkan Bandar Baru Uda, kawasan Tasek, kawasan Central Business District (CBD) dan Susur Tun Razak yang mencerminkan komitmen menjadikan Johor Bahru sebagai destinasi pelancongan unggul.
Orang ramai dinasihati agar menghargai inisiatif itu dengan mengelakkan vandalisme, pencemaran dan perbuatan membuang sampah merata-rata yang boleh mencemarkan imej bandar raya sekali gus memberi persepsi buruk kepada pelancong akibat perbuatan tidak bermoral tersebut.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad, Datuk Bandar MBJB mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan 4/2025, hari ini. Turut hadir, YBhg. Tuan Haji Mohd Farid Hassan, Setiausaha MBJB dan YBrs. Dato’ A. Aziz Ahmad, Ketua WHIP MBJB.
#VisitJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor