MELAHIRKAN BANGSA JOHOR KUASAI STEM
Titah Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar silibus mata pelajaran diperbaharui kerana sudah tidak lagi relevan selain mahu Johor menjadi negeri pertama melakukan perubahan telah membuka mata pelbagai pihak terhadap kepentingan untuk mewujudkan pendidikan berkualiti.
Kerajaan Negeri sendiri tidak menunggu lama menjunjung dan menyahut titah Pemangku Sultan Johor dengan melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Singapura bersama pelbagai jabatan dan agensi serta rakan strategik dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan kompetensi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Komitmen berkenaan yang mendorong kepada kerjasama erat antara Johor dan Singapura dalam sektor pendidikan dipuji Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman kerana tidak mengabaikan potensi besar bidang STEM yang perlu dikuasai pelajar di negeri ini, terutama dalam melahirkan ramai profesional serta membentuk budaya pemikiran baharu.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu percaya langkah pemerkasaan pendidikan STEM di Negeri Johor mampu memberikan sumbangan signifikan dalam kemenjadian pelajar seterusnya mewujudkan ‘talent pool’ yang membangun dan menghimpunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Malah kadar enrolmen pelajar STEM di Negeri Johor yang memberangsangkan kebelakangan ini secara tidak langsung melahirkan pelajar mempunyai keberanian untuk berdialog dan mahir di dalam sesi pembentangan yang menjadi bekalan kemahiran apabila melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT).
Dr. Nor Farahwahidah yang juga terlibat secara langsung dalam memberi latihan pembangunan profesional guru-guru sains di Negeri Johor menzahirkan kesediaan untuk membantu Kerajaan Negeri dari sudut perkongsian kepakaran bagi melahirkan lebih ramai warga pendidik yang kompeten demi memacu pendidikan STEM ke arah lebih tinggi.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor