SOUTHERN VOLUNTEERS PERLUAS BAKTI KE SELURUH KAMPUNG


Penubuhan SV JPKK menyaksikan aktiviti kesukarelawanan itu akan digerakkan 25 ahli Southern Volunteers berserta ketua kampung bagi setiap kampung di seluruh Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Southern Volunteers (SV) terus memperkasakan peranannya selepas diperluaskan ke peringkat belia luar bandar melibatkan 667 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh Negeri Johor, dengan jangkaan kira-kira 16,675 keahlian baharu.

 

Menerusi pelancaran SV JPKK, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan yang sinonim dengan gerakan sukarelawan itu akan dapat diperhebat seterusnya digerakkan 25 ahli SV bersama ketua-ketua kampung dan penduduk setempat di setiap kampung.

 

SV ditubuhkan secara rasmi atas perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada tahun 2020 bertujuan menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti yang memberi khidmat tanggungjawab sosial kepada rakyat dan Negeri Johor termasuk gerak kerja ketika dan pasca bencana.

 

Terdahulu, pelancaran SV JPKK disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Program Gotong Royong Perdana JPKK Peringkat Negeri Johor di Kampung Parit Kuari Darat, Batu Pahat, yang berlangsung serentak di peringkat daerah di sembilan lokasi melibatkan 667 JPKK di negeri ini.

 

Selain itu, berlangsungnya simbolik penyerahan dua mesin rumput daripada Kerajaan Negeri kepada setiap JPKK bagi menjayakan program Johor Bersih melibatkan peruntukan RM1 juta serta penyerahan 2,230 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjumlah RM5.5 juta.

 

Manakala Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama KKDW pula bakal melaksanakan program bina baharu dan baik pulih di seluruh negeri ini selain pelancaran Klinik Bergerak Maju Johor yang memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar di semua 56 DUN Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor