SEMARAK SUBUH PALOH PAMER SISI MUAFAKAT JOHOR


YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor turut hadir sama mengunjungi Masjid An-Nur Ladang Kekayaan untuk menjayakan program Semarak Subuh. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Masjid An-Nur Ladang Kekayaan menjadi antara masjid dan surau di daerah Kluang terpilih bagi pelaksanaan program Semarak Subuh Minggu Kelapan untuk kawasan DUN Paloh yang diwakili oleh YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.

 

Meskipun bukan wakil rakyat beragama Islam, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Paloh itu terus bersemangat meneruskan aktiviti rutin memulakan pagi hari Jumaat seperti sebelum ini, mengunjungi Masjid An-Nur Ladang Kekayaan seterusnya menyantuni jemaah dengan bersalaman dan bertanya khabar serta bersarapan bersama.

 

Pertemuan yang mempamerkan sisi ‘Muafakat Itu Berkat’ juga menjadi platform buat dirinya mendengar sebarang bentuk aduan, cadangan dan permohonan berkaitan isu setempat disampaikan oleh penduduk untuk disertakan dalam perancangan pembangunan kawasan serta diambil tindakan.

 

YB Lee Ting Han turut menyampaikan sumbangan berupa ‘Smart TV’ daripada Pejabat Khidmat Rakyat DUN Paloh kepada Tabika KEMAS Ladang Kekayaan bagi menggalakkan guru taman bimbingan kanak-kanak itu menjalankan pembelajaran secara digital dan interaktif dengan menggunakan teknologi terkini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor