MPBP DEKATI MASYARAKAT, HEBAH PELAN PEMBANGUNAN DI BATU PAHAT


Program ‘Hari Komuniti @ Pekan Semerah: Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) bertujuan menghebahkan maklumat berkenaan pelan pembangunan bagi kawasan tertumpu demi menjadikan petempatannya inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. | Sumber foto: Facebook Majlis Perbandaran Batu Pahat.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) menggunakan pendekatan mendekati masyarakat dengan mengadakan program ‘Hari Komuniti @ Pekan Semerah: Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB)’ bersama masyarakat di Pekan Semerah dekat Batu Pahat, semalam.

 

Selaras dengan matlamat ‘Pembangunan Mampan’ atau ‘Sustainable Development Goals’ (SDGs) SDG 11 (Sustainable Cities and Community), program itu bertujuan menghebahkan maklumat berkenaan pelan pembangunan bagi kawasan tertumpu demi menjadikan petempatannya inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid yang hadir merasmikan program itu, berkata masyarakat sentiasa menyokong usaha baik Kerajaan Negeri dalam membangunkan kawasan pekan itu.

 

“Masyarakat berpeluang untuk mengambil tahu apa pelan pembangunan yang telah dirancang di kawasan Semerah, perkhidmatan dari jabatan dan agensi kerajaan turut disediakan seperti pemeriksaan kesihatan, pembayaran cukai dan kaunter aduan.

 

“Kita sentiasa menyokong semua usaha baik kerajaan bagi pembangunan setempat. Cuma rakyat sentiasa menanti perlaksanaannya dan ia kena disegerakan,” tulis Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah di laman Facebook rasminya.

 

Pada program yang sama, Ketua Jabatan Perancangan Pembangunan MPBP, Shahril Karjoo turut menyampaikan sesi taklimat Perancangan Pembangunan kepada warga Pekan Semerah sebagai usaha menjelaskan rancangan yang akan dilaksanakan kepada masyarakat setempat.

 

Selain itu, taklimat Program Bandar Selamat turut disampaikan oleh Ketua Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Batu Pahat, Asisten Superintenden Polis Mokhtar Mohd Nor.

 

Program anjuran kerjasama PDRM, SWCorp, Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill Sdn Bhd, Southern Volunteers (SV) Batu Pahat, Pejabat Tanah Daerah (PTD) Batu Pahat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Batu Pahat, Pejabat Penerangan Batu Pahat serta Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat itu akan diteruskan di kawasan lain dalam daerah Batu Pahat.

 

Ia akan melibatkan Rengit, Senggarang dan Parit Raja bagi membolehkan MPBP menyampaikan maklumat dan informasi yang lebih tepat dan bermanfaat untuk semua.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor