MRR : SFZ FOREST CITY TERJEMAH SIMBIOSIS DINAMIK JOHOR-SINGAPURA


Penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City mampu menjadi daya penarik kepada pelabur khususnya dari Singapura.

 

Penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City bakal memberikan limpahan manfaat kepada pembangunan negara terutama Negeri Johor serta menterjemahkan simbiosis dinamik antara Johor dan Singapura yang saling melengkapi.

 

Timbalan Presiden Serantau Forest City, Ir. Syarul Izam Sarifudin memberitahu hubungan akrab itu memberi nilai tambah kepada pemacuan pembangunan ekonomi seterusnya menjadi daya penarik kepada pelabur khususnya dari Singapura.

 

“Forest City amat mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri berhubung rancangan mewujudkan SFZ sebagai usaha merancakkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Negeri Johor.

 

“Zon khas yang berjaya mampu menarik sejumlah besar syarikat multinasional dan domestik serta dijangka memberi sumbangan besar kepada pelaburan, perniagaan seterusnya menjana peluang pekerjaan dan perkembangan ekonomi,” kata beliau yang menyambut baik pengumuman berkenaan.

 

Selain itu, usaha tersebut secara tidak langsung membantu kawasan pembangunan itu terus membangun dengan adanya pembukaan premis perniagaan, ruang pejabat, unit kediaman, kemudahan penginapan dan kemudahan sokongan.

 

“Ia secara tidak langsung akan membantu memacu pertumbuhan yang mampan, membangunkan modal insan dan menambah baik infrastruktur dan kesalinghubungan.

 

“Malah juga akan memangkin pertumbuhan kukuh ekonomi Johor dan pelaburan di rantau ini melalui reputasi ekonomi yang dimiliki oleh Singapura,” jelas beliau lagi.

 

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan mewujudkan SFZ di Forest City yang disertakan dengan beberapa insentif menarik ketika Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Johor pada Ogos lalu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor