JABATAN PERHUTANAN NEGERI JOHOR CIPTA REKOD MBOR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar merasmikan Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. 

 

Jabatan Perhutanan Negeri Johor melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penanaman pokok terbanyak dalam tempoh satu hari.

 

Keseluruhan 181,000 pokok melibatkan tanaman spesis hutan bernilai tinggi seperti Merbau, Meranti, Merawan, Keruing, Karas, Giam dan Kapur ditanam secara serentak bermula jam 7 pagi hingga 2 petang di seluruh negeri ini.

 

Selain itu, turut ditanam spesis ladang hutan seperti Sentang, Getah, Khaya dan Jati diikuti spesis nadir iaitu Sentul, Rambutan, Petai, Berangan, Belimbing Buluh dan Jering serta spesis hiasan antaranya Salam, Penaga Lilin, Rhu Pantai, Bintangor dan Golden Penda juga telah ditanam.

 

Penganjuran program bertujuan mempromosikan Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta menggalak penduduk menanam pokok bagi mencapai sasaran sebanyak 800,000 pokok dalam tempoh setahun.

 

Perasmian penutup program disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar yang turut menanam pokok Bintangor Daun Karat di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor