MTL MASIH AKTIF, SENTIASA PEKA DAN BERJAGA-JAGA


Pejabat Meteorologi Johor menasihatkan orang ramai terutama di kawasan hotspot atau berisiko banjir agar lebih peka dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) hingga bulan Mac ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Pejabat Meteorologi Johor menasihatkan orang ramai terutama di kawasan hotspot atau berisiko banjir agar lebih peka dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) hingga bulan Mac ini.

 

Pengarahnya, Nor Adawiah Abdullah berkata, kekuatan angin Timur Laut semakin berkurangan di dalam tempoh seminggu akan datang berbanding semasa Negeri Johor mengalami hujan lebat berterusan pada seminggu yang lalu.

 

“Pada tempoh masa kini sehingga bulan Mac 2023, MTL masih lagi aktif. Hujan pada sebelah pagi masih boleh berlaku di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung, manakala ribut petir pada sebelah petang dan malam di kawasan-kawasan pedalaman negeri-negeri di Semenanjung.

 

“Untuk Negeri Johor, di dalam tempoh ini, hujan masih boleh berlaku di Timur Johor pada sebelah pagi dan ribut petir pada sebelah petang dan malam,” katanya kepada Media Digital Johor, hari ini.

 

Nor Adawiah berkata, risiko hujan lebat berterusan masih boleh berlaku dalam tempoh ini, sekiranya penumpuan dan luruan angin kencang Timur Laut memasuki rantau negara ini.

 

“Penumpuan angin kencang Timur Laut berserta kelembapan udara yang tinggi boleh menyebabkan kejadian hujan lebat berterusan di kawasan negara kita, termasuklah risiko kepada Negeri Johor,” katanya.

 

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan bersiap sedia dengan sebarang arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

 

Kata beliau, sekiranya terdapat sebarang kecemasan, boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah masing-masing.

 

“Disarankan untuk sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui pelbagai medium iaitu laman web rasmi www.met.gov.my, aplikasi mobile myCuaca yang boleh didapati secara percuma di Google Play dan Apps Store dan media sosial rasmi MET Malaysia iaitu Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube myMET TV.

 

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor