TERIMA KASIH SV KERANA BANYAK MEMBANTU


Skuad Southern Volunteers membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir ketika Misi SV Pasca Banjir di sekitar kawasan Pengerang, Kota Tinggi / Gambar MDJ Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

KOTA TINGGI — “Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada pihak Southern Volunteers (SV) dan pihak berwajib yang lain kerana banyak membantu terutama membersihkan kediaman saya ini,” kata Fatihah Hanani Ibrahim.

Fatihah Hanani, 23, berkata bantuan diberikan kepada keluarganya sangat bermakna kerana sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung akibat banjir yang melanda kawasan rumahnya di Kampung Jomis, Sungai Rengit di sini.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak terutama sukarelawan SV kerana melakukan kerja pembersihan ini. Ia mengurangkan sedikit beban kami kerana turut mengalami keletihan kerana bertungkus lumus menyelamatkan barangan ketika banjir sebelum ini.

“Lagi pun, saya dan suami baharu sahaja dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) banjir berhampiran dan berasa sedikit kepenatan. Mujurlah pihak SV dan agensi kerajaan sudi membantu kami,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor yang mengikuti Misi SV Pasca Banjir di sekitar kawasan Pengerang di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) YB Dato’ Hj On Jabbat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Fizwan Dato’ Mohd Rashidi.

Diminta menceritakan kejadian banjir, Fatihah Hanani berkata, beliau dan suaminya baharu sahaja berpindah selama dua hari ke rumah sewa berkenaan sebelum kejadian banjir berlaku.

“Pada hari kejadian, kami sebenarnya tidak sedar air semakin naik kerana ia terlalu perlahan. Ia hanya mula disedari oleh suami saya pada waktu maghrib apabila dia ke belakang rumah untuk mengambil pakaian kerjanya sebelum mendapati air semakin naik.

“Semalaman juga kami tidak tidur untuk menyelamatkan barangan di dalam rumah. Alhamdulillah, pihak berwajib seperti penghulu, ketua kampung, pihak polis, bomba dan orang kampung datang membantu, sebelum dipindahkan ke PPS demi keselamatan kami,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana banjir hanya berlaku dalam tempoh yang singkat disebabkan oleh tindakan proaktif pihak berwajib dalam menangani masalah ban pecah yang menjadi penyebab utama banjir selain faktor hujan berterusan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin, berkata keadaan banjir berlaku di kawasan ini disebabkan oleh kejadian ban pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan yang lebih rendah.

“Mungkin disebabkan taburan hujan yang tinggi sebelum ini menyebabkan ban berkenaan yang pecah kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu. Kesan air yang kita lihat hari ni ada sisa impak daripada ban pecah kerana kawasan terbabit sebelum ini jarang dilanda banjir seumpama ini.

“Bagaimanapun, tindakan proaktif daripada MPP, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat menyelesaikan masalah ini dalam tempoh kira-kira sehari sahaja,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor