MUZIUM KOTA TINGGI BAKAL DILENGKAPI TEKNOLOGI DIGITAL


Penolong Kurator Muzium Kota Tinggi, Murnira Mastar berkata, pelbagai kaedah interaktif menarik dengan penggunaan teknologi akan diketengahkan seperti Audio Visual (AV), skrin sentuh dan juga Augmented Reality (AR). | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Seiring dengan kemajuan teknologi, Yayasan Warisan Johor (YWJ) menerusi Muzium Kota Tinggi bakal memperkenalkan tarikan baharu dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi secara digital di premis miliknya tidak lama lagi.

 

Ia sekali gus akan mampu memberi impak yang lebih mendalam dan pengalaman baharu yang lebih mengujakan kepada pengunjung untuk mengetahui pelbagai bahan tinggalan sejarah khususnya membabitkan era pemerintahan Kerajaan Johor Lama.

 

Menurut Penolong Kurator Muzium Kota Tinggi, Murnira Mastar yang ditemui Media Digital Johor berkata, pelbagai kaedah interaktif menarik dengan penggunaan teknologi akan diketengahkan seperti Audio Visual (AV), skrin sentuh dan juga Augmented Reality (AR).

 

Jelas Murnira, usaha ke arah pendigitalan itu merupakan ilham daripada usaha mengetengahkan penggunaan teknologi maklumat berimpak tinggi sebagaimana yang telah dilaksanakan di Muzium Budaya Borneo, Sarawak, sebelum ini.

 

Beliau berharap dengan usaha pendigitalan oleh Kerajaan Johor ini, ia secara tidak langsung akan menarik lebih ramai lagi pengunjung ke Muzium Kota Tinggi dan pada masa sama dapat mengenali dengan lebih mendalam berkaitan sejarah, seni, warisan dan budaya yang terdapat di daerah Kota Tinggi dan juga Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor