NGAUMAN ‘BOS’ GERUNKAN LAWAN
Setiap kali menjejakkan kaki ke gelanggang keramat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), tidak dapat tidak, mata penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pasti akan melirik kepada kelibat sekumpulan anak muda yang menamakan diri mereka sebagai ‘Boys Of Straits’ atau lebih mesra dengan jolokan BOS.
Menjadikan teres ‘Curva Nord’ SSI sebagai ‘war theatre’ mereka, BOS sesekali tidak akan berasa jemu sama ada memalu gendang atau berteriak melontarkan melodi semangat atau apa sahaja, asalkan pasukan kesayangan mereka mampu bertarung hingga mencapai kemenangan.
Tidak hanya terhad di SSI sahaja, kelibat BOS ibarat bayang-bayang kepada JDT kerana mereka akan turut sama berkelana ke medan lawan, walaupun lokasinya terletak di hujung dunia sekali pun kerana tidak sanggup melihatkan pasukan kesayangan mereka bertempur dan berjuang tanpa sokongan daripada ‘die hard fan’ yang berpangkalan di selatan tanah air ini.
Berbeza untuk tahun 2024, musim Liga Malaysia kali ini bermula agak lewat berbanding dengan kalendar perlawanan bola sepak tahun sebelumnya. Bagaimanapun, tempoh berehat panjang daripada perlawanan bola sepak ternyata tidak sesekali menjejaskan pergerakan dan perancangan komuniti Boys Of Straits ini.
Farihin Johar, jurucakap BOS, menyifatkan bahawa tempoh berehat panjang tersebut diguna sepenuhnya untuk semua komrad berehat setelah berhempas pulas sepanjang tahun 2023. Malah kesempatan ‘cuti tanpa gaji’ itu digunakan dengan mengadakan aktiviti kerohanian seperti Suburkan Subuh bersama komuniti BOS di setiap daerah di Negeri Johor.
“Tidak dinafikan bila berehat panjang, perkara utama yang sukar untuk dikekalkan adalah jiwa dan momentum menyokong. Banyak cabaran yang umumnya tidak tahu, tetapi kami percaya keikhlasan demi kelab bola sepak kesayangan ini, semua penyokong akan kembali bersatu padu” ujarnya.
Ditanya mengenai keanggotaan komrad penyokong tegar JDT itu, beliau berkata, kekuatan BOS itu sendiri adalah gabungan permuafakatan anak-anak muda Johor di seluruh daerah tanpa ada yang terkecuali. Walaupun BOS ini berpusat di Johor Bahru, namun keanggotaannya bebas daripada pengaruh ‘JB Centric’ kerana mahukan penyokong tulen yang hadir bersama rasa kasih, bangga dan hormat kepada skuad Harimau Selatan ini.
“Sejujurnya, keterujaan yang kami nantikan adalah perlawanan Piala Sumbangsih di mana pasukan JDT akan berdepan dengan seteru utama. Tapi kita manusia yang mampu merancang, tuhan lebih mengetahui apa yang berlaku. Walaupun ada sedikit ‘ralat’ tapi kita pandang ke hadapan, fokus untuk perlawanan seterusnya yang merupakan perlawanan pembukaan liga di SSI ini,” ulas Farihin Johar tentang perlawanan penting yang dibatalkan sebelum ini.
Beliau berkata, setiap musim adalah berbeza dan sedar pasukan lawan juga akan membuat persiapan yang lebih baik dan perkara ini seolah-olah menjadi ‘tonik mujarab’ yang membuatkan komrad BOS lebih bersemangat untuk memberi sepenuh sokongan tidak berbelah bahagi kepada JDT.
Farihin juga tidak menolak bahawa cara sokongan pelbagai kelab penyokong lain adalah berbeza antara satu sama lain, namun BOS akan kekal dengan tradisi mereka selagi ianya relevan dalam pembentukan komuniti BOS. Beliau juga mengingatkan bahawa matlamat utama penyokong adalah memberi sokongan penuh kepada pasukan JDT tanpa sebarang kompromi.
“Besar harapan kami jika semua penyokong JDT bersama dengan BOS dan kami juga sentiasa mengalu-alukan semua penyokong untuk turut serta menyanyi dan bersorak bersama kami. Kalau tidak bersama di teres pun, biarlah kita gegarkan seluruh stadium. Tanam dalam diri masing-masing bahawa kekuatan pasukan itu juga ada dalam jiwa penyokong,” tegas Farihin Johar kepada semua penyokong JDT.
Perlawanan kedua Liga Super Malaysia akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu jam 5.30 petang yang bakal menyaksikan pertembungan JDT menentang Negeri Sembilan bagi musim 2024/2025 ini.
#Chapter2
#SudutPandangPenyokong
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor