JDT, CHELSEA BERENTAP DI STADIUM SULTAN IBRAHIM OGOS INI

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan reputasi bertaraf antarabangsa apabila bakal menerima kunjungan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Ogos depan sekali gus mengangkat Johor sebagai destinasi bola sepak dunia.

 

#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membuktikan kedudukan mereka sebagai kuasa bola sepak terbesar negara apabila bakal menerima kunjungan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea dalam aksi persahabatan antarabangsa berprestij di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Ogos depan.

 

Perlawanan bersejarah itu bukan sekadar aksi pra-musim buat Chelsea, malah ia juga menjadi simbol pengiktirafan dunia terhadap pembangunan bola sepak Johor yang kini berada pada standard antarabangsa menerusi fasiliti moden, pengurusan profesional serta reputasi besar JDT di pentas Asia.

 

Kehadiran ‘The Blues’ yang merupakan juara bertahan Piala Dunia Kelab FIFA ke Johor turut memperlihatkan keyakinan kelab elit Eropah berkenaan terhadap kemampuan Johor sebagai destinasi bola sepak bertaraf dunia.

 

Harimau Selatan pula bakal beraksi berbekalkan reputasi gah sebagai juara 12 kali berturut-turut Liga Super Malaysia, selain terus konsisten mencabar pasukan terbaik Asia dalam saingan Liga Juara-Juara Asia AFC Elite (ACLE).

 

Aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak dari seluruh negara dan Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada Johor khususnya sektor pelancongan, hospitaliti dan perniagaan tempatan.

 

Sementara itu, Luis Garcia, Ketua Pegawai Eksekutif JDT pula menyifatkan perlawanan tersebut sebagai satu pencapaian penting buat kelab serta mencerminkan peningkatan kedudukan Harimau Selatan dalam arena bola sepak Asia.

 

Malah, penganjuran perlawanan berprofil tinggi itu turut memperkukuhkan lagi imej Johor sebagai hab sukan moden dan destinasi utama acara antarabangsa di rantau ini.

 

Perlawanan ‘Lions vs Tigers’ itu dijadual berlangsung pada jam 8 malam dengan harga tiket bermula RM154 sehingga RM1,254 bagi kategori VIP, manakala jualan umum tiket akan dibuka bermula 22 Mei ini.

 

#JohorSafeZone
#CFCvsJDTFC
#LionsVsSouthernTigersMY26
#TheTMJEffect
#WhatCanYouDo
#JohorHomeOfChampions
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor