PAJ BERSEDIA KAJI LALUAN BMJ UNTUK OPTIMUMKAN PERKHIDMATAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan mengkaji semula laluan Bas Muafakat Johor (BMJ) bagi mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan tersebut.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kaji semula laluan BMJ itu sekiranya terdapat cadangan penambahbaikan dari segi masa dan laluan perkhidmatan.

 

“PAJ mengalu-alukan pandangan dari wakil penduduk dan PBT sendiri jika ada keperluan bagi mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan bas percuma ini,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tenang, Haslinda Salleh sama ada PAJ bersedia kaji semula masa dan laluan BMJ di PBT Labis untuk membolehkan perkhidmatan tersebut dimanfaatkan pelajar.

 

Mohamad Fazli berkata, terdapat tiga laluan BMJ sedia ada di Labis iaitu LB001 Pekan Labis, LB001A Terminal Labis-Kolam Air Panas dan LB002 Terminal Labis-Bekok.

 

Ujarnya, mesyuarat berkala bersama PBT dan operator bas mengendalikan perkhidmatan di kawasan tersebut, menjadi panduan bagi mengenalpasti isu dan cadangan yang boleh ditambahbaik.,

 

“Belanjawan Johor 2023 yang lepas, YAB Menteri Besar Johor telah merancang untuk membuat penilaian semula laluan sedia ada dan mencadangkan laluan yang berkapasiti tinggi agar dana kerajaan dioptimumkan.

 

“Perancangan penetapan dan semakan laluan BMJ sentiasa dijalankan berdasarkan beberapa kriteria iaitu kawasan berpenduduk yang tiada perkhidmatan sebelum ini dengan kepadatan tinggi serta melalui kawasan kemudahan awam, pejabat agensi kerajaan, sekolah, kawasan rekreasi dan lain-lain kawasan tumpuan masyarakat setempat,” katanya.

 

Beliau turut memberitahu laluan BMJ juga mengambil kira keadaan infrastruktur sedia ada seperti kelebaran jalan, radius pusingan di persimpangan, kemudahan pondok bas, lay-by dan lain-lain.

 

“Selain itu, laluan BMJ yang dicadangkan juga perlu mempunyai integrasi dengan perkhidmatan pengangkutan bas dan teksi atau kereta sewa sedia ada serta perkhidmatan pengangkutan awam yang lain.

 

“Bagi perkhidmatan BMJ di kawasan Labis, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan laluan baru di Labis iaitu LB003 Hentian Labis-Bekok-Pekan Chaah.

 

“Pihak PAJ sedang menjalankan proses perolehan bagi melantik operator yang berkelayakan untuk menjalankan operasi di laluan tersebut. Semua laluan baru BMJ dijangka akan beroperasi pada pertengahan tahun 2023,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor