YEE JIN PASANG IMPIAN WAKILI NEGARA


Atlet para sukan catur Negeri Johor, Lim Yee Jin memasang hasrat ingin mengharumkan nama negara. | Foto MDJ: Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

ISKANDAR PUTERI — Atlet para sukan catur Negeri Johor, Lim Yee Jin memasang impian untuk mewakili Malaysia suatu hari nanti, dengan menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara.

 

Memegang teguh prinsip ‘Tanpa Usaha, Tiada Kejayaan’, remaja berusia 20 tahun ini tidak sesekali menyerah dan kenal erti putus asa dalam menempa kejayaan sukan diceburinya.

 

Beliau yang menghidap ‘Spina Bifida’ sejak lahir memberitahu mula berminat dengan sukan catur sejak di bangku persekolahan lagi.

 

Mengimbau kembali, Yee Jin memberitahu memilih catur bagi pengisian aktiviti ko-kurikulum di sekolah ketika berusia 10 tahun kerana merasakan sukan berkenaan sebagai menarik.

 

Kemudian, beliau berpeluang bertemu dan bergurukan pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Nasrul Humaimi yang juga Ketua Jurulatih Pasukan Catur Para Johor pada tahun 2017.

 

Sejak daripada itu, anak sulung daripada tiga beradik ini semakin aktif menyertai pelbagai pertandingan antaranya ‘Pertandingan Catur Sabtu1 UTM’ seterusnya dipelawa menyertai Pasukan Para Catur Negeri Johor yang memulakan karier sebagai seorang atlet.

 

Antara kejohanan dan pencapaian terawal pernah diraih sebagai atlet para Negeri Johor adalah Kejohanan Catur OKU pada tahun 2017 yang menyaksikan dirinya meraih kedudukan keempat bagi kategori fizikal wanita.

 

Lebih manis, pasukan Negeri Johor dalam kejohanan tersebut telah diumumkan sebagai juara keseluruhan sekali gus menyuntik semangatnya kekal setia bersama Pasukan Para Catur Negeri Johor.

 

Yee Jin meneruskan perjuangan sebagai atlet para catur Johor dengan menyertai Para SUKMA pada tahun 2018 di Perak dan berjaya merangkul empat pingat (dua emas, satu gangsa dan satu perak).

 

“Kejayaan ini amat berharga bagi saya kerana ia merupakan kali pertama saya sertai sukan Para Sukma dan berjaya membawa pulang banyak pingat.

 

“Saya amat bersyukur atas bimbingan dan sokongan jurulatih-jurulatih saya. Tanpa mereka, saya tidak dapat memproleh kejayaan ini,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan rakan sepasukan juga sentiasa memberikan sokongan dan menjadi faktor penting terhadap kejayaan dirinya sepanjang bersama pasukan.

 

Sementara itu, Yee Jin juga berkongsikan bahawa ibunya merupakan individu yang penting sepanjang perjalanan sebagai atlet para catur negeri.

 

Pada Mac lalu, beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Negeri Johor 2022 sempena Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022 Negeri Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor