PBT DIARAH FOKUS 120 HOTSPOT BANJIR


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mengadakan lawatan ke lokasi pembinaan tembok penghalang banjir di Taman Setia Indah.

 

Kerajaan Negeri menyarankan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Johor memberikan tumpuan kepada usaha mengatasi isu banjir di 120 kawasan hotspot yang dikenal pasti secara berfasa.

 

Perancangan pembangunan baharu perlu melibatkan kajian bagi tempoh lima hingga ke 10 tahun ke hadapan meliputi sistem saliran dan perparitan yang mengambil kira keadaan untuk jangka masa panjang.

 

Kerajaan Negeri juga sudah mengarahkan setiap PBT memberi keutamaan kepada penyediaan peruntukan untuk hotspot di kawasan pentadbiran masing-masing, namun bergantung kepada tahap kemampuan dimiliki.

 

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) misalnya, menyediakan peruntukan RM15 juta pada tahun ini dan hadapan bagi menyelesaikan 15 hotspot malah mensasarkan untuk merealisasikan sifar banjir pada tahun 2026.

 

Sementara itu, isu banjir membelenggu penduduk di Presint 10 Taman Setia Indah sehingga menjejaskan kira-kira 150 kediaman bakal berakhir menerusi tindakan proaktif diambil oleh MBJB.

 

Menerusi peruntukan berjumlah RM6.5 juta, tembok sepanjang 430 meter dan berketinggian dua meter dibina selain penggunaan sistem pam untuk mengeluarkan air ke parit monsun, pemasangan ‘flap gate’ dan penggalian kolam takungan.

 

Kesemua langkah berkenaan bukan sahaja mampu menghalang limpahan air dari luar memasuki kawasan perumahan terbabit terutama ketika hujan lebat malah menyelesaikan isu banjir yang dihadapi sejak lebih 10 tahun lalu.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mengadakan lawatan ke lokasi pembinaan tembok penghalang banjir di Taman Setia Indah.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor