KUMPULAN PERTAMA JEMAAH HAJI RKJ BERLEPAS 18 MEI


Foto Arkib Jemaah Haji.

 

Seramai 500 jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) dijadual berangkat ke Tanah Suci secara berperingkat bermula 18 Mei ini, untuk menunaikan Rukun Islam Kelima bagi musim haji 1445H/2024M.

 

Kesemua mereka merupakan antara 3,500 duyufurrahman negeri ini, yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Makkah.

 

Sebagai persediaan, jemaah haji Negeri Johor telah mengikuti Kursus Perdana Haji anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) selama dua hari di Masjid Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada minggu lalu.

 

Saban tahun, Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah peruntukan bagi membiayai sebahagian kos jemaah haji RKJ terdiri dalam kalangan penjawat awam serta pesara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri menasihatkan semua jemaah haji agar sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing selain berdisiplin serta menjaga nama baik negeri ini, sepanjang berada di Tanah Suci.

 

Terdahulu, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Sempena Hari Bertemu Rakyat Pusat Islam Iskandar Johor. Turut hadir, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor serta YBhg. Jamaludin A. Hamid, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor