MASYARAKAT PERLU CELIK TEKNOLOGI, PERANGI JENAYAH SCAMMER


Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Jenayah penipuan atas talian atau lebih dikenali scammer bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat berikutan kes berkaitan isu ini sering menjadi antara ‘headline’ sama ada di media arus perdana hinggalah ke media sosial.

 

Pelbagai usaha telah digerakkan oleh pelbagai pihak bagi membanteras jenayah penipuan itu termasuk menjalanlan kempen kesedaran dan terkini, Program Jelajah Anti Scam Kebangsaan menjadi strategi baharu bagi memerangi jenayah yang sudah berlarutan sekian lama itu.

 

Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Sri Dr Hj Zulkifeli Mohd Zin, Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia memaklumkan, program itu diilhamkan oleh Gabungan Bertindak Anti Scam yang mengumpulkan agensi kerajaan, organisasi swasta, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan serta institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memerangi jenayah komersil ini.

 

Ia juga menjadi inisiatif dalam memupuk kesedaran pengguna peranti digital tentang penipuan dalam talian dan jenayah scam, termasuk berkongsi langkah-langkah pencegahan dan pengawalan yang boleh diambil oleh seseorang individu sekiranya mereka terdedah kepada ancaman tersebut.

 

Sementara itu, Ahmad Faizal Zulkipli, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Digital Malaysia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan teknik ‘phishing’ yang sering digunakan oleh scammer untuk mendapatkan maklumat peribadi termasuk data akaun perbankan.

 

‘Phishing’ atau bahasa mudahnya pukau menjadi antara modus operandi utama oleh penjenayah penipuan atas talian ini dengan taktik menawarkan hadiah menarik, bantuan kerajaan, tawaran kerja selain turut meminta pengguna mengemaskini akaun bank kononnya bagi mengelakkan akaun simpanan mereka digantung oleh pihak berwajib.

 

Justeru, Ahmad Faizal menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali menekan pautan yang diterima daripada sebarang nombor telefon atau emel yang meragukan serta perlu bertindak menukar kata laluan setiap bulan bagi mengelak kebocoran data sekali gus menyukarkan kerja penggodam atau scammer untuk mendapatkan maklumat peribadi ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor