PELUANG KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA PETRONAS


EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah terima kunjungan Pengurus Besar PETRONAS Selatan, Mohd Zaki Mahat dan Pengurus Hal Ehwal Kerajaan PETRONAS Selatan, Syafrul Faisyah M Jafri, semalam | Sumber gambar Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelbagai perkara dibincangkan terutama melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan negeri bersama PETRONAS dalam sektor pembangunan usahawan serta sumber manusia.

 

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah selepas menerima kunjungan daripada pihak PETRONAS Selatan, semalam.

 

“PETRONAS menerusi Yayasan PETRONAS (YP) ada mengadakan program keusahawanan menerusi bimbingan dan ‘pitching’ perniagaan khusus kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

“Saya juga ada menyuarakan mengenai usaha memasarkan produk usahawan kecil ke Kedai Mesra di stesen-stesen (minyak) PETRONAS,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Mohd Hairi berkata, beliau turut melihat peluang kerjasama melibatkan Unit Strategik Modal Insan (SMI) dalam menjayakan Program Latihan Kemahiran menerusi YP.

 

Program Latihan Kemahiran tersebut berkaitan minyak dan gas, peluang pekerjaan di Pengerang selain kerjasama dalam penganjuran Karnival TVET.

 

“Dalam masa terdekat saya meminta SMI mengadakan pertemuan dengan PETRONAS dan menjalinkan kerjasama untuk jayakan perancangan ini, seterusnya memberi manfaat buat Bangsa Johor,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor