PELAN MITIGASI KECEMASAN BEKALAN AIR UNTUK PARLIMEN PARIT SULONG


 

ISKANDAR PUTERI — Gangguan bekalan air luar jangka masih berlaku di kawasan Parlimen Parit Sulong meskipun pelan mitigasi bagi mengatasi masalah berkenaan semasa musim perayaan di negeri ini, sudah dirancang dan dilaksanakan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tekanan air rendah dan terputus bekalan semasa waktu puncak serta tempoh perayaan di kawasan terbabit amat dikesali.

 

“Saya turun ke kawasan Parlimen Parit Sulong dan berbincang dengan pihak Ranhill SAJ serta pemimpin tempatan bagi mencari solusi untuk mengatasi masalah gangguan air di kawasan ini.

 

“Saya meminta tempoh dua minggu untuk kita muktamadkan pelan jangka masa sederhana dan panjang bagi memastikan masalah ini tidak lagi berulang,” katanya di Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, untuk langkah serta-merta, Ranhill SAJ meletakkan tangki statik di 18 kawasan awam selain 12 lori tangki mengagihkan air berulang alik sehingga setiap kediaman mendapat bekalan air mencukupi.

 

“Langkah pengagihan air kepada penduduk ini akan dipantau dengan rapat oleh saya demi memastikan setiap rumah menerima bekalan air yang mencukupi,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor