TERUJA MENANTI RTS LINK JOHOR BAHRU-SINGAPURA BEROPERASI


Natasha Ardila Warkil, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menyambut baik pelaksanaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

 

JOHOR BAHRU — Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura menghubungkan Malaysia dan Singapura disambut baik oleh rakyat negeri ini, yang menggunakan mod pengangkutan awam secara harian ke negara jiran.

 

Bagi Natasha Ardila Warkil, 25, berkata, komitmen kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan projek itu memberikan perkhabaran gembira kepadanya kerana akan menyingkatkan waktu perjalanan sekiranya siap dibina.

 

“Saya tidak sabar untuk menunggu projek RTS siap kerana akan lebih memudahkan saya untuk ulang alik dari rumah ke Singapura dengan lebih cepat.

 

“Saya pergi kerja setiap hari dengan menaiki bas yang mengambil masa dalam lebih 20 hingga 40 minit ke Woodlands, Singapura,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Manakala Rohaizad Maznan, 27, memberitahu akan berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura sebaik sahaja projek tersebut siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

 

Ujarnya, beliau yang bekerja di Singapura menyewa bilik di negara tersebut dan hanya akan pulang ke Johor Bahru apabila hujung minggu.

 

“Saya bayar sewa bilik dalam S$500 sebulan dan apabila ditukarkan kepada nilai ringgit, boleh mencecah lebih RM1,500 hanya untuk bayaran sewa sahaja.

 

“Saya menetap di Singapura kerana lokasi tempat bekerja adalah jauh dari rumah, Jadi terkejar-kejar masa dan (perlu) hadap ‘jammed’ pagi.

 

“Apabila projek RTS ini telah siap, saya akan menetap semula di Johor Bahru di samping boleh menjimatkan masa dan mengurangkan kos perbelanjaan saya ,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek tersebut dijangka akan siap pada tahun 2026.

 

“Mengikut jangkaan, seramai 10,000 penumpang boleh ditampung dalam masa setiap jam perjalanan kira-kira empat kilometer panjang antara dua stesen,” katanya.

 

Dengan siapnya projek RTS Link Johor Bahru-Singapura, dijangka memberikan kelegaan kepada rakyat negeri ini, yang bekerja di Singapura.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor