KREATIVITI MASYARAKAT TERDAHULU BAWA KEPADA PERUBAHAN RENTAK TARIAN ZAPIN


Terdapat 15 jenis zapin di negeri Johor di mana setiap daerah mempunyai gerak tari dan koreografi tersendiri diasaskan oleh masyarakat tempatan. | Foto oleh: Asyiqin Jalil

 

ISKANDAR PUTERI — Sebut mengenai zapin, terlintas dalam fikiran bahawa tarian ini berasal dari negeri Johor. Lebih-lebih lagi, zapin telah sinonim di kalangan masyarakat Johor dan tarian ini sering dipersembahkan pada acara keramaian serta keraian.

 

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa tarian ini sebenarnya berasal dari Timur Tengah, dibawa ke Tanah Melayu oleh para pada abad ke-15.

 

Jurulatih Bahagian Pengurusan Acara Yayasan Warisan Johor (YWJ), Zurawaty Husin berkata, kreativiti dimiliki oleh orang Melayu pada zaman dahulu di dalam mengubah rentak tarian zapin yang kasar kepada lembut, amat mengagumkan.

 

“Saya amat kagum melihat orang Melayu terdahulu yang begitu kreatif di dalam mengolah tarian zapin yang berunsurkan timur tengah kepada rentak tari lembut dan sesuai untuk negeri Johor. Akhirnya kita lihat tarian zapin kekal relevan hingga ke hari ini.

 

”Pada awalnya, tarian ini dipersembahkan oleh kaum lelaki kerana ia kelihatan agak kasar dan tidak sesuai untuk kaum wanita. Namun setelah nenek moyang kita membuat perubahan bagi menyesuaikan ia dengan budaya orang Melayu, maka tarian zapin kini lebih lembut dan kaum wanita boleh menari dengan gerak tari yang lebih sesuai dan sopan,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Zurawaty berkata, terdapat 15 jenis zapin di negeri Johor di mana setiap daerah mempunyai gerak tari dan koreografi tersendiri diasaskan oleh masyarakat tempatan.

 

“Zapin di negeri Johor ini mempunyai tarikan yang tersendiri. Sebagai contoh, jika kita melawat ke daerah Mersing kita akan dipersembahkan dengan keunikan zapin Pulau dan Tenglu. Begitu juga dengan daerah Batu Pahat yang terkenal dengan zapin Kores dan zapin Lapis Batu Putih.

 

”Di daerah Johor Bahru pula popular dengan zapin Pekajang, zapin Parit Mastar di daerah Pontian dan zapin Selat Panjang pula menjadi tarikan di daerah Kluang. Dengan wujudnya pelbagai jenis tarian zapin di negeri Johor, ia membuktikan bahawa setiap daerah di negeri ini mempunyai keunikan yang tersendiri termasuk gerak tari, muzik dan pakaian.

 

“Jadi, kami di YWJ tidak mempunyai ketetapan bagi menentukan jenis tarian zapin utama di negeri Johor, sebaliknya kami sedaya upaya ingin mengangkat dan memartabat semua jenis zapin yang ada di negeri Johor agar ia tidak dilupakan,” katanya.

 

Beliau berkata, YWJ berperanan di dalam mengembangkan zapin ke tahap lebih tinggi dengan inisiatif memperkenalkan tarian ini di sekolah dan universiti malah institusi pendidikan tinggi di samping menerima undangan mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa.

 

”Kami di YWJ telah mengangkat tarian zapin sejak 1996. Inilah tugas kami memartabatkan tarian warisan ini memandangkan muzik dan tarian moden semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

 

”Selain mengadakan persembahan di peringkat tempatan dan antarabangsa, YWJ juga bergiat aktif di dalam memperkenalkan tarian zapin di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi bagi memastikan warisan nenek moyang ini tidak pupus begitu sahaja,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor