PEMBANGUNAN BUKIT CHAGAR PACU TRANSFORMASI JOHOR BAHRU


Cadangan Projek Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar. | Foto MRT Corp.

 

#IskandarPuteri – Projek Pembangunan Bersepadu di Bukit Chagar bakal menjadi pemangkin kepada proses transformasi bandar raya Johor Bahru serta mobiliti rentas sempadan menerusi kerjasama strategik antara MRT Corporation (MRT Corp) dan Sunway Group.

 

Pelaksanaan projek berkenaan disifatkan YBhg Datuk Mohd Zarif Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp sebagai perubahan unik yang menggabungkan pembangunan hartanah berskala besar bersama infrastruktur pengangkutan rel bagi mewujudkan ekosistem berorientasikan transit yang mampan, sekali gus memastikan kesinambungan jangka panjang projek ini dan meningkatkan kemudahan mobiliti masyarakat.

 

Contoh model daripada bandar global di negara lain yang telah berjaya mengintegrasikan infrastruktur transit dalam perancangan bandar akan dijadikan sebagai konsep bagi projek pembangunan di Bukit Chagar selain lokasi strategik yang membolehkannya menarik kemasukan pelabagai jenis perniagaan, pelaburan dan tenaga kerja yang berkualiti.

 

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah, Pengerusi Sunway Group, yakin kerjasama dengan MRT Corp bagi membangunkan projek Rail Plus Property pertama di Malaysia ini akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi di The Greater Johor Bahru dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM2.6 bilion.

 

Kerjasama strategik antara dua entiti berkenaan juga akan menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya gerbang antarabangsa yang mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia, Singapura dan negara serantau.

 

Kerja-kerja pembinaan projek bersepadu ini dijangka bermula pada Mac depan dengan fasa pertama melibatkan tempat letak kenderaan bertingkat yang menawarkan 1,550 tempat letak kereta dan 1,015 tempat letak motosikal bagi memenuhi keperluan pengguna RTS Link yang dijadualkan mula beroperasi menjelang 30 November 2026.

 

#RTSLink
#TheGreaterJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas