TIGA POLISI KELESTARIAN ALAM SEKITAR DIPERSETUJUI


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor Bil.1/2025. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Tiga polisi penting mengenai kelestarian alam sekitar dipersetujui semasa mesyuarat Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor Bil.1/2025 bakal menjadi langkah strategik memacu Johor yang lebih lestari.

 

Kesemua polisi dan agenda dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar itu diharapkan dapat dilaksanakan segera demi mencapai visi Hijau Johor 2030.

 

Polisi yang dipersetujui adalah Polisi Tenaga Boleh Baharu Johor 2030 serta Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Tenaga Boleh Baharu Johor memfokuskan pemerkasaan tenaga solar sebagai sumber tenaga utama untuk masa depan lebih bersih.

 

Selain itu, Polisi Pengangkutan Hijau Negeri Johor serta Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) memperkenalkan langkah-langkah untuk mobiliti hijau melalui penggunaan kenderaan elektrik dan pembangunan infrastruktur pengecasan yang lebih baik.

 

Polisi seterusnya yang dipersetujui adalah Polisi Perubahan Iklim (Mitigasi Banjir) Johor 2030 serta Garis Panduan Sistem Amaran Awal Banjir melibatkan tindakan bersepadu dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan meningkatkan kesiapsiagaan banjir di negeri ini.

 

Kerajaan Negeri turut memohon status Gerak Kerja Jawatankuasa Kerja Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor dikemas kini bagi memastikan segala dasar dirancang dan penambahbaikan diperlukan dapat disegerakan seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

 

#JohorGreenDeal
#SustainableJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor