KERAJAAN NEGERI GIAT SEMAI BUDAYA MEMBACA BANGSA JOHOR


Buku elektronik (e-book) atau buku fizikal? | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Meniti arus pemodenan dalam era digitalisasi pada masa kini menyaksikan lambakan buku elektronik (e-book) atau buku digital yang mengubah trend membaca masyarakat kepada dalam talian.

 

Trend berkenaan bagaimanapun tidak menenggelamkan pembacaan buku fizikal yang masih mendapat tempat dalam kecanggihan dunia teknologi komunikasi dan digital.

 

Berdasarkan statistik Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor (PPAJ), rekod pinjaman buku fizikal di perpustakaan dianggarkan melebihi 80 peratus iaitu lebih tiga kali ganda berbanding buku digital dalam setahun.

 

Kerajaan Negeri bersama PPAJ terus komited untuk melaksanakan pelbagai program dan promosi sebagai usaha menyemai minat dan tabiat membaca buku fizikal di mana sahaja dalam kalangan Bangsa Johor.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri berharap program Jom Baca Bersama 10 Minit yang diadakan secara serentak di seluruh negara setiap tahun itu dapat dilaksanakan dalam tempoh sebulan atau seminggu sekali di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Legoland Malaysia, hari ini. Hadir sama, YM Puan Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman, Pengarah PPAJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor