DENDA KEPADA INDIVIDU, INDUSTRI JIKA BUANG SAMPAH MERATA


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir menyempurnakan perasmian Larangan dan Penguatkuasaan Bagi Pembuangan Sampah Kecil di Tempat Awam di dalam Kawasan Negeri Johor di Hutan Bandar MBIP, Johor Bahru, hari ini. | Foto MDJ, Hafez Zahar

 

 

Kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor akan mengeluarkan kompaun secara terus kepada individu yang ditangkap membuang sampah merata-rata di tempat awam bermula pada kadar RM50 hingga RM500, manakala RM1,000 hingga RM2,000 ke atas pemilik industri.

 

Tindakan tegas tersebut susulan penguatkuasaan larangan pembuangan sampah kecil di tempat awam dalam kawasan PBT bermula hari ini, bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara selain mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

 

Untuk melicinkan penguatkuasaan di kawasan Greater Johor Bahru, anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah dilengkapi dengan teknologi kamera badan bagi melaksanakan tugas.

 

Selain berpakaian seragam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan terdapat juga anggota penguat kuasa berpakaian seperti orang awam ketika melakukan pemantauan dan operasi ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

 

Untuk rekod, hampir 2,000 saman telah dikeluarkan khususnya di kawasan bandar raya dengan denda maksimum sebanyak RM2,000 melibatkan kesalahan mandatori seperti membuang sampah di belakang premis makanan, manakala kesalahan membuang puntung rokok dan sampah kecil dikenakan denda RM250.

 

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir menyempurnakan perasmian Larangan dan Penguatkuasaan Bagi Pembuangan Sampah Kecil di Tempat Awam di dalam Kawasan Negeri Johor di Hutan Bandar MBIP, Johor Bahru, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor