PENGALAMAN MAERSK, POTENSI PTP MAMPU TARIK PELABUR


Keyakinan tersebut dizahirkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi susulan pertemuan bersama pihak Maersk dalam lawatan tiga harinya ke Singapura. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menzahirkan keyakinan terhadap pengalaman Maersk dan prestasi Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang mampu menarik pelabur serta merangsang ekonomi negeri ini.

 

Keyakinan tersebut dizahirkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi susulan pertemuan bersama pihak Maersk dalam lawatan tiga harinya ke Singapura.

 

Menurutnya, Maersk yang merupakan syarikat pengangkutan maritim dan logistik global telah menyatakan hasrat untuk melabur di PTP dengan potensi pelaburan signifikan.

 

“Adalah penting untuk kedua-dua pihak meneliti dan memperincikan setiap aspek perancangan pembangunan serta pelaburan jangka masa panjang untuk kawasan PTP,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Khamis.

 

Onn Hafiz berkata, Maersk telah berjaya merekodkan hasil pendapatan sebanyak USD81.5 bilion dengan jumlah pekerja seramai 110,000 orang di seluruh dunia untuk tahun lalu, meskipun berhadapan cabaran pasaran tidak menentu.

 

“Maersk dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga telah menandatangani MoU pada Ogos 2022, dengan perancangan mewujudkan rangkaian hab logistik di Malaysia, menerusi beberapa fasa sehingga tahun 2030.

 

“Kerajaan Negeri yakin dengan pengalaman Maersk sebagai penyedia perkhidmatan logistik terbaik serta prestasi PTP sebagai Pelabuhan ke-15 Terbaik di dunia, ianya mampu menarik lebih ramai pelabur serta memangkin ekonomi Negeri Johor ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

 

Turut hadir, Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di Singapura (JETCO), Dato’ Ir. Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim.

 

Hadir sama, Pengarah MIDA Singapura, Vinothan Tulisinathzan; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir; Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan Wilayah dan Perbandaran) BPENJ, Norazmi Amir Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif JETCO, Saifuddin Abdul Rahim.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor