KERAJAAN AMBIL LANGKAH RESPONSIF ISU PERUMAHAN TAMAN PUTERIMAS


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menerima aduan daripada pembeli yang tertekan selepas projek perumahan terbabit masih belum memperoleh CCC. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

ISKANDAR PUTERI — Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) sudah diminta mengenal pasti isu kelewatan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci projek Taman Puterimas, dekat Kluang, bagi fasa satu melibatkan 400 unit rumah.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor selepas menerima keluhan serta aduan daripada pembeli menerusi media sosialnya.

 

“Saya telah terima banyak komen dan peti masuk di Facebook, TikTok dan Instagram berkenaan kelewatan kelulusan CCC dan penyerahan kunci Taman Puterimas Kluang bagi rumah 400 unit rumah fasa satu.

 

“Saya telah meminta pegawai PKPJ untuk mengenal pasti masalah kelewatan ini,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Khamis.

 

Mohd Jafni berkata, difahamkan kelewatan CCC kerana masalah keperluan syarat baharu oleh pihak Ranhill SAJ yang perlu dipenuhi oleh pemaju.

 

“Masalah tersebut dalam proses penyelesaian dan dalam pantauan agresif oleh saya sendiri. Saya bersama pasukan PKPJ dan Majlis Perbandaran Kluang akan turun ke tapak perumahan ini pada minggu hadapan. Masalah ini akan diselesaikan segera demi rakyat,” katanya.

 

Terdahulu, Mohd Jafni menerima aduan daripada pembeli yang tertekan selepas projek perumahan terbabit masih belum memperoleh CCC dan dapat membuat penyerahan kunci hampir tiga tahun.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor