PENGELUARAN SIJIL HALAL JOHOR MEMBERANGSANGKAN


JAINJ mengingatkan usahawan Negeri Johor yang membuat permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya memastikan bahan dan ramuan yang digunakan adalah menepati syarak seperti tidak memabuk dan memudaratkan pengguna. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Komitmen Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan program Halal on Track (HOT) menyaksikan sebanyak 633 daripada 879 permohonan usahawan Negeri Johor bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) diluluskan dalam 30 tempoh hari bekerja setakat Januari hingga Mei lalu.

 

Angka signifikan tersebut menjadi cerminan kepada keberkesanan program HOT yang telah bermula sejak tahun lalu, dengan menyediakan platform strategik bagi membantu dan membimbing usahawan agar lebih bersedia seterusnya melancarkan permohonan pensijilan dibuat.

 

Justeru, YBhg. Mohd Taufik Dato’ Kiyai Shamsuddin, Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Halal) Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyeru para usahawan memanfaatkan program itu dan mendapatkan SPHM bagi meningkatkan keyakinan pengguna Islam seterusnya mengembangkan perniagaan masing-masing.

YBhg. Mohd Taufik Dato’ Kiyai Shamsuddin, Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Halal) JAINJ

Pada masa sama, JAINJ turut mengingatkan usahawan yang membuat permohonan SPHM terutama pengusaha produk boleh guna atau ‘consumable product’ supaya memastikan bahan dan ramuan yang digunakan adalah menepati syarak seperti tidak memabuk dan memudaratkan pengguna.

 

Malah usahawan juga dinasihatkan agar memastikan dokumentasi diperlukan diisi dengan lengkap selain mempunyai fasiliti pengeluaran produk diyakini bersih dan benar-benar bersedia sebelum mengemukakan permohonan untuk mengelak timbulnya masalah teknikal yang boleh menjejaskan tempoh kelulusan pengeluaran SPHM.

 

Semalam, berlangsungnya program HOT @ Johor Tahun 2024 anjuran JAKIM dan JAINJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang julung kali diadakan secara bersama dengan penglibatan negeri dan telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor