KERAJAAN MUDAH CARA PERMOHONAN SIJIL HALAL


Muhammad Hazrin Herryson, 34, pengedar piza sejuk beku berterima kasih atas kelancaran permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang berjaya disempurnakan dalam tempoh 30 hari bekerja. | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Usaha berterusan Kerajaan Negeri menitik beratkan aspek pensijilan halal selain bersikap tidak pilih bulu dalam memberikan bantuan dan bimbingan mendapat pujian pengedar piza sejuk beku, Muhammad Hazrin Herryson yang menerima manfaat disediakan.

 

Usahawan belia berusia 34 tahun berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas kelancaran permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang berjaya disempurnakan dalam tempoh 30 hari bekerja.

 

Malah Muhammad Hazrin berasal dari Kuala Lumpur yang juga pemilik Herryson’s Pizza amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan diterima dalam bentuk wang tunai dan peralatan iaitu peti sejuk ‘chiller’ daripada Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB).

 

Sementara itu, Farazila Salleh yang juga Ketua Pegawai Operasi Salleh Food Industries Sdn. Bhd. akui menghadapi cabaran ketika memohon SPHM pada tahun lalu untuk perniagaan keluarga yang sudah 36 tahun bertapak dalam industri makanan dan minuman (F&B).

 

Bagaimanapun, JAKIM telah membantu dan memudah carakan langkah permohonan termasuk menyarankan pihaknya untuk menghadiri kursus selama tiga hari bagi menambahbaik seterusnya memberikan pengetahuan lanjut mengenai proses dokumentasi sehingga berjaya.

 

Terdahulu, kedua-dua usahawan tersebut ditemui sempena program Halal On Track (HOT) @ Johor Tahun 2024 yang disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

 

Turut hadir, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor serta YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor.

 

Program HOT @ Johor 2024 merupakan anjuran JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi memperkasa pensijilan halal menerusi kaedah dan pendekatan mesra industri selain menjadi platform strategik kepada usahawan lebih bersedia sebelum memohon SPHM.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor