TPM TINJAU PPK KAMPUNG PARIT MAKUASANG


Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meninjau PPK Kampung Parit Makuasang, semalam | Sumber foto Facebook Zahid Hamidi.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 170 unit kediaman di bawah Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Parit Makuasang, dekat Pontian, siap dibina bagi manfaat golongan sasar.

 

Projek tersebut disediakan bagi penempatan semula mangsa banjir, air pasang dan setinggan nelayan di kawasan Sungai Benut dan Sungai Pinggan khususnya Kampung Nelayan, Kampung Sri Tanjung serta Kampung Sungai Sanglang.

 

Selain itu, PPK Kampung Parit Makuasang yang diluluskan pelaksanaannya pada tahun 2016, dan siap dibina pada 10 Januari 2022 turut menjadi penempatan golongan miskin tegar dan miskin di sekitar Benut.

 

Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan ‘Walkabout’ meninjau PPK Kampung Parit Makuasang, semalam.

 

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

 

PPK Kampung Parit Makuasang merupakan pembangunan kediaman secara berkembar dengan infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik serta sistem rawatan kumbahan.

 

Dimaklumkan, projek dibangunkan di atas tanah kerajaan negeri milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI) dengan keluasan 30 ekar itu turut menyediakan kemudahan ameniti sosial iaitu dewan terbuka, surau, tadika dan gerai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor