MUAFAKAT 3 GENERASI


Abu Bakar Hanipah yang kini meneruskan legasi arwah bapanya yang menjalankan perniagaan mi bandung sejak 1930-an. | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

 

Siapa sangka tindakan tiga sahabat berlainan bangsa iaitu Allahyarham Hanipah Yusof, Allahyarham Kassan Suroh dan Mendiang Wah San untuk bersama-sama mencari rezeki untuk mengusahakan kedai makan berhampiran Panggung Wayang sekitar 1930-an akhirnya menjadi satu legasi yang kini masih diusahakan oleh anak dan cucu mereka.

 

Malah tidak keterlaluan jika menjadikan tiga sahabat ini sebagai satu ‘role model’ bagi mengambar hasrat Muafakat Bangsa Johor yang diilhamkan oleh Almarhum Sultan Sir Abu Bakar yang kini diterjemahkan oleh permuafakatan mereka hingga turut diadaptasi oleh waris keturunan mereka.

 

Abu Bakar Hanipah yang kini meneruskan legasi arwah bapanya yang menjalankan perniagaan mi bandung berkata, beliau agak kurang arif bagaimana ketiga-tiga sahabat itu bertemu tetapi melalui ingatannya ialah mereka sudah bersama berniaga di sekitar kawasan Panggung Wayang Rex itu sejak 1930-an lagi iaitu seawal penghijrahan bapanya dari Madras, India ke Muar, Johor.

 

Foto MDJ Hafez Azhar.

 

“Masa itu, mereka bekerja bersama-sama seolah-olah sebagai satu keluarga walaupun berlainan bangsa. Saya masih ingat sekitar 1957, saya sempat merasakan suasana ketika bekerja bersama ibu bapa sebagai ‘pengopek kulit’ udang yang menjadi antara resepi utama membuat mi bandung. Suka duka mereka memang kongsi bersama sehinggalah 1961, pawagam terbabit kemudian menutupkan operasinya.

 

“Walaupun ia ditutup, ia tidak mematahkan semangat tiga sahabat ini dan mereka tetap mengambil haluan untuk tetap bersama-sama mencari lokasi baharu untuk berniaga. Akhirnya, mereka menemui sebuah lot kedai di Jalan Abdullah, Muar dan premis inilah yang tetap beroperasi sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor (MDJ).

 

 

MDJ difahamkan perniagaan mi bandung berkenaan yang dimulakan oleh Allahyarham Hanipah kini diambil alih oleh Abu Bakar sementara perniagaan membuat sate iaitu satu menu sarapan utama bagi warga Muar yang dijalankan oleh Allahyarham Kassan kini diteruskan oleh anak perempuannya Jamilah Kassan dengan dibantu oleh suaminya, Abu Bakar Rahmat. Operasi perniagaan membuat minuman yang dipelopori oleh Mendiang Wah San pula diteruskan oleh anak saudaranya iaitu Wee Ming Han.

 

Ditanya apakah formula yang diamalkan oleh tiga sahabat terbabit sehingga sentiasa bermuafakat sehingga ke anak cucu, Abu Bakar berkata, sifat bertolak ansur, saling menghormati dan tolong-menolong adalah antara resepi terbaik bagi memastikan hubungan yang dipupuk sejak sekian lama menjadi terus akrab.

 

Foto MDJ Hafez Azhar.

 

“Bohonglah kalau tak ada langsung salah faham atau berlaku sedikit pertelingkahan sesama kami. ‘Sedangkan lidah lagi tergigit’, namun semua itu akan diselesaikan sebagai satu keluarga. Salah faham, bergaduh tu biasalah… macam gaduh adik beradik, lambat laun akan selesai juga.

 

“Selain menikmati juadah yang disediakan di kedai kami ini, ramai juga yang bertanyakan juga macam mana kami tetap boleh bekerja dan duduk bersama-sama walaupun berlainan bangsa kerana saya berasal dari India Muslim, waris Kassan pula Melayu dan Wah San pula dari keturunan Cina. Itulah jawapan kami berikan,” katanya.

 

 

Beliau berkata, pihaknya berharap legasi yang dimulakan oleh ‘orang tua’ mereka ini akan terus berkekalan dan impian itu semakin hampir untuk direalisasikan berikutan anak mereka juga menunjukkan minat untuk meneruskan perniagaan ini pada masa akan datang dan berharap legasi yang mengambil inspirasi Muafakat Bangsa Johor ini akan terus diamalkan sampai bila-bila.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor