PENUBUHAN YPKDT MAMPU KEKALKAN KUALITI KEHARMONIAN DALAM KELUARGA


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han merasmikan Program Kembara Keluarga Sejahtera di Dewan Terbuka Komuniti Taman Kota Paloh, Sabtu lalu. | Foto ihsan Facebook Lee Ting Han

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor kekal komited dalam pembangunan masyarakat berkeluarga dengan memperkukuhkan institusi keluarga yang bahagia dan harmoni di negeri ini.

 

Oleh itu, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) yang dibangunkan pada tahun 1997 perlu terus berperanan dalam merancang program kemasyarakatan dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak bagi mengekalkan kualiti keharmonian dalam keluarga.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han, berkata keluarga merupakan unit terkecil dalam masyarakat yang memainkan peranan terpenting dan menjadi faktor penentu dalam pembangunan sesuatu bangsa.

 

“Justeru, adalah penting bahawa pembangunan keluarga dirancang dan dilaksanakan (sebaiknya) supaya ia dapat meliputi segala aspek dan aktiviti keluarga dengan perhatian kepada aspek sosial, ekonomi juga politik.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor berhasrat supaya institusi keluarga diperkukuhkan yang memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan pembentukan Negeri Johor terus berwibawa serta disokong oleh pengukuhan institusi keluarga yang sejahtera,” katanya dalam laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri itu merasmikan program tersebut di Dewan Terbuka Komuniti Taman Kota Paloh, Sabtu lalu dan turut merakamkan penghargaan kepada YPKDT atas penganjuran Program Kembara Keluarga Sejahtera.

 

Ting Han berkata, setiap anggota dalam masyarakat perlu menanam sifat tanggungjawab dalam membentuk keluarga harmoni supaya generasi muda kelak dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan negara dan negeri pada masa hadapan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor