KKM SASAR PENINGKATAN PENDERMAAN DARAH MENJELANG 2030


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sasaran berkenaan untuk memenuhi keperluan perawatan pesakit seiring dengan kadar pertumbuhan tahunan penduduk di negara ini. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

JOHOR BAHRU — Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Perkhidmatan Perubatan Transfusi Kebangsaan menyasarkan peningkatan kadar pendermaan darah antara 35 hingga 40 penderma bagi 1,000 orang penduduk menjelang tahun 2030.

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sasaran berkenaan untuk memenuhi keperluan perawatan pesakit seiring dengan kadar pertumbuhan tahunan penduduk di negara ini.

 

“Kadar pendermaan darah sebelum pandemik COVID-19 iaitu pada tahun 2019 adalah 22.8 penderma per 1,000 orang penduduk di Malaysia. Bagaimanapun, kadar pendermaan darah ini sedikit menurun iaitu 19.7 hingga 22.5 penderma per 1,000 populasi pada tahun 2020, 2021 dan 2022 disebabkan COVID-19 yang melanda Malaysia dan dunia.

 

“Justeru, Perkhidmatan Perubatan Transfusi Kebangsaan menyasarkan kadar pendermaan darah 35 hingga 40 per 1,000 populasi penduduk menjelang tahun 2030,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon serta Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Dr. Tun Maizura Mohd Fathullah.

 

Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sebanyak 737,554 beg darah didermakan pada tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 13.7 peratus berbanding tahun 2021.

 

“Pencapaian yang membanggakan itu adalah hasil sumbangan dan usahasama semua pihak, penganjur-penganjur kempen dan juga para penderma.

 

“Diharap semua pihak dapat mengekalkan usaha murni ini dan terus bersemangat untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menderma darah secara berterusan bagi seluruh masyarakat di Malaysia,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor