PENYIAPAN PROJEK RESIDENSI PR1MA KOTA TINGGI AMAT BERMAKNA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 Residensi PR1MA Kota Tinggi, di sini, semalam | Foto MDJ, Nurina Aisyah.

 

KOTA TINGGI — Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan pengurusan PR1MA atas komitmen menyiapkan Residensi PR1MA Kota Tinggi melibatkan 625 unit kediaman yang tertangguh sebelum ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek sakit sejak kira-kira dua tahun yang telah disiapkan sepenuhnya itu disifatkan sebagai amat bermakna.

 

“Terima kasih, berkat kepimpinan YB Nga Kor Ming, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha KPKT dan Pengurusan PR1MA , telah bangkit hari ini. Hari ini telah dapat ‘ubat’.

 

“Kini sudah sihat, segar bugar. ‘Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 Residensi PR1MA Kota Tinggi, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Menteri Pembangunan Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor.

 

Di Johor, projek sakit PR1MA yang berjaya disiapkan melibatkan projek Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah, manakala Residensi Larkin Indah dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

 

Sebelum ini, Media Digital Johor melaporkan komitmen kerajaan negeri membantu pihak PR1MA dan pembeli Residensi PR1MA Kota Tinggi dalam menyelesaikan projek sakit itu.

 

Inisiatif kerajaan negeri melaksanakan koordinasi bersama pihak berkepentingan bagi membela nasib pembeli antaranya mengadakan mesyuarat, perjumpaan dan lawatan tapak.

 

Dalam ucapan sama, Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas peruntukan berjumlah RM23 juta yang diluluskan bagi menaik taraf infrastruktur awam di Johor, tahun ini.

 

Peruntukan tersebut meliputi RM1.3 juta kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk penyelenggaraan dua lot niaga awam iaitu Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Biru.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor