PERTANDINGAN TARIAN SILANG BUDAYA NEGERI JOHOR, BAWA KEUNIKAN BAHARU


Pertandingan Tarian Silang Budaya Peringkat Negeri Johor 2023 akan menampilkan adat resam pelbagai budaya dalam setiap kumpulan yang menyertai pertandingan itu. | Foto MDJ Sophie Razale.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor buat pertama kalinya menganjurkan Pertandingan Tarian Silang Budaya Peringkat Negeri Johor 2023 bagi membawakan keunikan baharu dalam kebudayaan di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata penganjuran ini akan menampilkan adat resam pelbagai budaya dalam setiap kumpulan yang menyertai pertandingan ini.

 

“Objektif pertandingan ini bagi memupuk semangat penerimaan dan persefahaman antara kebudayaan yang berbilang kaum pada masa kini.

 

“Selain meningkatkan kesedaran, kefahaman dan pengetahuan dalam kalangan Bangsa Johor mengenai keunikan dan kemajmukan budaya rakyat Malaysia, ia juga mampu mengukuhkan hubungan kaum dalam kalangan rakyat berbilang kaum,” beliau berkata demikian selepas hadir sebagai tetamu ke konti Johor FM, pada selasa.

 

Tian Soon berkata, unsur-unsur kebudayaan serta ahli pasukan yang berbilang bangsa akan dimasukkan ke dalam pertandingan itu sebagai syarat kepada pasukan yang akan sertai.

 

“Pertandingan ini kita libatkan ramai pihak khususnya persatuan kebudayaan daripada setiap daerah yang mana ahli bagi setiap pasukan tidak kurang daripada 14 peserta.

 

“Manakala umur mereka kita had kepada 15 tahun keatas. Bererti, kita sangat menantikan persembahan daripada mereka,” katanya.

 

Pertandingan tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Auditoriam Permata Sari, RTM Johor, pada 15 Julai ini.

 

Sebanyak 10 pasukan akan berentap bagi merebut gelaran juara, sekali gus membawa pulang hadiah kejuaraan bernilai RM20,000.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor