RM1.6 BILION PERUNTUKAN RANCANGAN TEBATAN BANJIR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan perjumpaan bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di pejabat kementerian. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) itu bagi penyelesaian jangka masa panjang masalah banjir itu melibatkan Lembangan Sungai Muar, Segamat, Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi dan bandar Batu Pahat.

“Kerajaan Negeri (juga) ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak NRECC kerana telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.4 juta bagi perolehan pam bergerak sebanyak 24 unit.

“Manakala RM6.88 juta bagi penyelenggaraan infrastruktur saliran seperti membaiki kerosakan tebing dan mendalamkan sungai,” katanya di laman Facebook rasminya pada Rabu.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di pejabat kementerian.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan Dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar ; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han serta Pengerusi Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor, Anuar Abdul Manap.

Sementara itu, Onn Hafiz turut memaklumkan Negeri Johor telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023.

“Konvensyen yang melibatkan 2,000 delegasi dari 150 negara ini tentunya akan meletakkan Johor dan Malaysia di mata dunia.

“Perancangan dan persediaan Malaysia menangani isu pencemaran, bencana banjir dan (amalan) Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan menjadi topik hangat di konvensyen tersebut,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia meneliti segala bentuk kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan agar penganjuran bertaraf antarabangsa itu berjalan dengan baik dan lancar.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor