PERUBAHAN IKLIM, PENCEMARAN ALAM SEKITAR CABARAN UTAMA KEHIDUPAN : DYMM PERMAISURI JOHOR


DYMM Permaisuri Johor turut mengingatkan kira-kira 2,000 delegasi dari 150 negara yang hadir untuk menggubal dasar yang sistematik dan inklusif, boleh digunakan oleh semua negara, perniagaan dan individu serta membawa kepada kehidupan lebih baik untuk semua. | Foto MDJ Wira Anggara

 

DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah bertitah, perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar merupakan cabaran utama dalam kehidupan yang memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Justeru, Baginda Tuanku menyeru agar tindakan segera dan bersepadu dapat diambil bagi menangani cabaran berkenaan dalam titahnya ketika berkenan berangkat ke Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 (APCW 2023), hari ini.

DYMM Permaisuri Johor turut mengingatkan kira-kira 2,000 delegasi dari 150 negara yang hadir untuk menggubal dasar yang sistematik dan inklusif, boleh digunakan oleh semua negara, perniagaan dan individu serta membawa kepada kehidupan lebih baik untuk semua.

Selaku tuan rumah persidangan antarabangsa, Baginda Tuanku menegaskan Negeri Johor begitu komited terhadap soal kelestarian dan inisiatif hijau dan ia terbukti dengan penubuhan Pusat Kelestarian Johor (JSC) dan Pelan Induk Pembangunan Hijau Negeri Johor atau ‘Johor Green Deal’ yang dilancarkan.

“Saya yakin kedua-dua inisiatif ini akan membantu memacu manfaat terhadap alam sekitar, sosial dan ekonomi di Johor dengan mengurangkan pelepasan karbon bagi menangani perubahan iklim selain menjadikan negeri ini berdaya tahan,” titah DYMM Permaisuri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas
#MajuJohor