PERUNTUKAN KHAS NAIK TARAF TAMAN REKREASI, PASAR AYER HITAM
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor memberikan peruntukan khas RM700,000 bagi menaik taraf taman rekreasi dan pasar Kampung Baru Ayer Hitam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi atas peruntukan berkenaan.
Menurutnya, Menteri Besar Johor sebelum ini pernah ke Ayer Hitam dan melakukan lawatan ke taman rekreasi dan pasar berkenaan, seterusnya memberikan peruntukan bagi tujuan menaik taraf dua tempat itu.
“Antaranya RM500,000 untuk menaik taraf taman rekreasi untuk mengantikan fasiliti taman permainan kanak-kanak yang rosak dan menambahkan peralatan sukan, serta menambah laluan ‘jogging’, lampu dan juga pondok.
“Selain itu, Pasar Ayer Hitam juga menerima RM200,000 bagi mengecat bangunan, menambah bumbung serta pembinaan rumah sampah,” kata beliau dalam Facebook rasminya pada Selasa.
Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng turut berharap penduduk Ayer Hitam dapat bersama menghargai dan menjaga fasiliti baharu itu demi manfaat semua bersama.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor