LESEN PERNIAGAAN DAN IKLAN ‘DATE TO DATE BASIS’ DILAKSANAKAN


Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman melancarkan pelaksanaan lesen perniagaan dan iklan ‘date to date basis’sejurus Mesyuarat Penuh Bil. 6/2023 tamat. | Foto ihsan Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baru-baru ini telah melancarkan pelaksanaan lesen perniagaan dan iklan dengan tempoh sah setahun dari tarikh yang diluluskan.

 

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman, berkata pelaksanaan ini bertujuan bagi memudahkan para pelesen memperbaharui lesen tahunan mereka sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter MBJB terutamanya pada penghujung tahun.

 

“Oleh itu, penambahbaikan ini diambil bagi menggalakkan pemilik lesen untuk membuat permohonan lesen sepanjang tahun serta dapat mengurangkan kos membayar lesen bagi tempoh tahun semasa.

 

“Pemilik lesen yang telah memenuhi semua syarat lesen dan berkelayakan memiliki lesen kekal (tempoh setahun) kini boleh memilih tempoh pembaharuan maksima sehingga tiga tahun,” katanya di Facebook rasmi MBJB semalam.

 

Noorazam berkata, pemohon lesen juga dinasihatkan untuk memohon pembaharuan lesen perniagaan dan iklan selewatnya 30 hari sebelum tarikh sah lesen tamat.

 

“Justeru, pelesen tidak lagi terikat pada tarikh 31 Disember tahun semasa seperti yang dilaksanakan sebelum ini (untuk pembaharuan lesen),” tambahnya.

 

Warga Johor khususnya di bandar raya Johor Bahru boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan lesen perniagaan ini menerusi Jabatan Pelesenan MBJB di talian 07-2198295 / 8297.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor