PERUNTUKAN RM50 JUTA BINA ‘SKYBRIDGE’ PERMUDAHKAN LALUAN PENJALAN KAKI


Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berucap dalam Majlis Perasmian ‘City Link Skybrige’ Penghubung Antara Coronation Square ke Stesen Johor Bahru Sentral, di Johor Bahru, hari ini. | Foto MDJ, Nurina Aisyah.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Persekutuan peruntukan RM50 juta bina jabatan penjalan kaki (Skybridge) menghubungkan ‘Coronation Square’ ke Stesen Johor Bahru Sentral di Johor bahru.

 

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, berkata pembangunan infrastuktur awam ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar raya berkenaan.

 

Katanya, projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pemaju bermula awal tahun depan dan dijangka siap menjelang tahun 2028.

 

“Kerjasama Kerajaan Persekutuan bersama Coronade Properties Sdn Bhd dalam membina infrastruktur awam ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas tetapi dalam tempoh masa panjang, ia dilihat dapat meningkat sosioekonomi masyarakat setempat.

 

“Inisiatif ini seterusnya dapat memberi sumbangan kepada Johor sebagai pintu sempadan antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian ‘City Link Skybridge’ Penghubung Antara Coronation Square ke Stesen Johor Bahru Sentral, di Johor Bahru, hari ini.

 

Steven berkata, pembangunan itu merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan secara Dana Mudahcara di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dengan kontraktor swasta.

 

Ujarnya, projek jambatan penjalan kaki itu juga akan mengurangkan tempoh perjalanan pengguna kepada 4 minit dengan jarak 280 meter.

 

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman, berkata inisiatif terbaharu itu secara tidak langsung dapat membantu memastikan Johor Bahru menjadi bandar mesra penjalan kaki seiring dengan amalan yang dipraktikan di beberapa bandar maju di luar Negara.

 

“Saya sangat menyambut baik projek ini kerana ia akan menjadi pemangkin kepada sambungan-sambungan (projek) lain yang dilaksanakan (di Johor Bahru).

 

“Satu kajian akan turut dibuat bagi memastikan pelaksanaan projek itu nanti tidak akan mengganggu aliran trafik di sekitar laluan yang terlibat sebelum ia dapat disiapkan dengan jayanya kelak,” katanya.

 

Sebelum ini, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah supaya Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan bagi menambah baik aliran trafik di pusat bandar Johor Bahru itu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor