KKM JANJI TAMBAH BAIK KK GELANG PATAH: EXCO KESIHATAN JOHOR


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa zahirkan janji bahawa KKM akan menyediakan peralatan tambahan bagi memastikan perkhidmatan Klinik ditambah baik. | Sumber foto: Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjanji menambah baik perkhidmatan Klinik Kesihatan Gelang Patah, dekat sini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, janji itu diberikan dalam tinjauan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa ke klinik kesihatan berkenaan.

 

“Menteri Kesihatan tadi juga datang meninjau keadaan klinik kesihatan dan berjanji KKM akan menyediakan peralatan tambahan bagi memastikan perkhidmatan Klinik ditambah baik,” katanya dalam Facebook rasmi, pada Ahad.

 

Tian Soon berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad telah menjemputnya ke Klinik Kesihatan Gelang Patah bagi meninjau keadaan pada 24 Mei lalu.

 

“Saya dapati keadaan klinik dalam keadaan tidak memuaskan. Hujan lebat (sebelum itu) juga telah menyebabkan banjir kilat di kawasan klinik kesihatan.

 

“Saya turut menghubungi Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong dan berbincang bersama mengenai tindakan bagi membantu klinik ini,” katanya.

 

Hasil daripada perbincangan itu, beliau berkata, Chin Tong bersetuju memperuntukkan RM100,000 bagi membina balai terbuka serbaguna.

 

“(Pembinaan balai terbuka serbaguna) supaya pesakit dapat dirawat dengan lebih selesa berbanding dengan khemah sementara yang sedang digunakan.

 

“Selain itu, Kerajaan Negeri Johor juga akan membantu klinik kesihatan menaik taraf dan membaik pulih jalan masuk ke klinik kesihatan serta kawasan menunggu,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor