PM MINTA GLC SELESAI MASALAH, BANTU MANGSA BANJIR


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyantuni kanak-kanak mangsa banjir ketika melakukan Lawatan Kerja Ke Lokasi Banjir di daerah Segamat / Gambar MDJ

 

SEGAMAT — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sudah meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyelesaikan masalah dan juga memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah menghubungi beberapa GLC khususnya GLC penting di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk segera melakukan tindakan terutama kepada mangsa banjir di Johor.

“Saya juga telah menghubungi semua GLC penting Kerajaan Persekutuan dan GLC termasuk Tenaga (Tenaga Nasional Berhad) akan turut menyelesaikan masalah elektrik (pada kadar) segera.

“Yayasan Sime Darby menyediakan kempen kesihatan untuk lebih 1,500 keluarga. Selainnya (GLC) mengumpul dana RM20 juta tambahan untuk rakyat Johor. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada GLC ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Lawatan Kerja Ke Lokasi Bencana Daerah Segamat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim.

Pada Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bantuan sebanyak RM50 juta kepada Negeri Johor bagi kegunaan membantu mangsa banjir dan keperluan segera di negeri berkenaan.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melakukan lawatan ke lokasi banjir di daerah Kota Tinggi sebelum ini turut mengumumkan peruntukan RM10 kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir di Johor.

Turut diumumkan ialah peruntukan sebanyak RM7.6 juta bagi projek sistem perparitan di Bandar Kota Tinggi dan Kota Mas serta RM15 juta bagi projek pelebaran dan pendalaman Sungai Lalang manakala projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pemandi bernilai RM25 juta kini pada peringkat tender.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor