PROJEK RTB AKAN DISEGERAKAN


 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) beramah mesra bersama mangsa banjir ketika Lawatan Kerja Ke Lokasi Bencana Banjir Daerah Segamat / Gambar MDJ.

 

SEGAMAT — Kerajaan akan menyegerakan beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) termasuk di negeri Johor bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku setiap tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan projek RTB sebelum ini ditangguhkan seketika kerana ia perlu melalui proses tender bagi mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan tahap kewangan negara.

“Banjir ini bukan kali pertama, bertahun-tahun macam di sini (Segamat) setahun dua kali (banjir). Oleh itu, kita putuskan projek yang mahal… RM600 juta atau lebih untuk RTB akan disegerakan.

“Itu hari (Belanjawan 2023) saya tangguh sebentar kerana kita tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat ini ada ketirisan… ada kecurian. Jadi kita perlu proses tender walaupun disegerakan.

“Semua projek yang telah diluluskan untuk RTB termasuk di Johor ini, harus beroperasi (mula dilaksanakan) mulai Jun tahun ini. Kita tak boleh lengahkan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke lokasi bencana di daerah Segamat, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim.

Pada sidang media sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Menteri Besar Johor turut membangkitkan beberapa projek baharu terutama bagi mengatasi masalah banjir di Johor.

“Saya beritahu, kita boleh jimatkan beberapa kos, RM1 hingga RM2 bilion daripada projek lama. Wang itu akan dipindahkan untuk menjayakan projek baharu di Segamat, Kota Tinggi dan juga kawasan-kawasan yang berat dilanda banjir,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJoh