SITUASI BANJIR DI SEGAMAT TIDAK BERUBAH


Keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat semalam | Sumber Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Perkembangan situasi banjir di Negeri Johor menunjukkan trend tidak berubah dengan hanya dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Segamat.

Kedua-dua PPS tersebut merupakan Balairaya Kampung Batu Badak dan Balairaya Kampung Kuala Paya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana dalam laporan setakat jam 8 pagi tadi, memaklumkan keseluruhan 15 keluarga terdiri daripada 51 penduduk terjejas ditempatkan di dua PPS itu.

Balairaya Kampung Batu Badak yang dibuka sejak 11 Disember lalu, menempatkan 10 keluarga dengan 28 penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 yang terjejas.

Manakala Balairaya Kampung Kuala Paya yang dibuka pada 12 Disember lalu, menempatkan lima keluarga terdiri 23 penduduk dari Kampung Kuala Paya.

Pemantauan keadaan banjir di Negeri Johor melibatkan pelbagai agensi antara Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Meteorologi Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan lain-lain agensi.

Selain itu, paras air sungai di Sungai Muar, dekat Kampung Awat dan Sungai Muar, dekat Buloh Kasap di Segamat masih menunjukkan tahap amaran.

Sementara Sungai Endau, dekat Kampung Labong di Mersing pula di tahap waspada.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor