PROJEK ‘HIGHWAY’ PLUS, SDE BERMULA AWAL


Sesi sidang media Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di Forest City Golf Hotel. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Selepas menanti sejak sekian lama, Bangsa Johor khususnya pengguna jalan raya, kini boleh menarik nafas lega apabila projek menaik taraf Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Senai Desaru (SDE) dijangka akan bermula pada hujung Jun ini.

 

Projek yang diperjuangkan oleh Kerajaan Johor itu juga turut disenaraikan sebagai projek berimpak tinggi yang akan melibatkan kerja pelebaran jalan PLUS bermula dari Senai (Utara) ke Sedenak membabitkan jarak sepanjang 21.8 kilometer (KM) dan dijangka siap pada Jun 2027, melibatkan peruntukan sejumlah RM525 juta.

 

Bagi fasa kedua projek PLUS pula, ia akan merangkumi jarak sejauh 16.6 KM yang bermula dari Sedenak ke Simpang Renggam dan dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025 serta siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2028.

 

Turut dijadualkan bermula pada hujung Jun ini ialah projek pelebaran Lebuhraya SDE yang dianggarkan bernilai RM160 juta dan akan melibatkan laluan sepanjang 9.34 KM iaitu bermula dari jambatan Sungai Johor hingga ke Sungai Semenchu yang dijangka dapat disiapkan pada Disember 2026.

 

Selain itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan turut membawa cadangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi inisiatif pelaksanaan projek pelebaran Lebuhraya PLUS dari Simpang Renggam ke Yong Peng Utara serta Lebuhraya SDE membabitkan Sungai Semenchu ke Bandar Penawar untuk tindakan seterusnya.

 

Malah, Kerajaan Johor juga bercadang untuk turut memasukkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM1.6 bilion itu ke dalam Jawatankuasa Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan lebih awal berbanding tarikh asal yang ditetapkan.

 

Terdahulu, telah berlangsungnya sidang media yang dihadiri YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor Bil. 02/2024 di Forest City Golf Hotel.

 

Hadir sama ialah YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor dan YBhg. TPr. Saidin Lateh, Pengarah PLANMalaysia Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor