PRU 15 PADA 19 NOVEMBER INI


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) 15 / Gambar Ihsan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Oleh Badrul Kamal Zakaria

ISKANDAR PUTERI — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai tarikh hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Tarikh sama juga ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata mesyuarat khas pihak berkuasa pilihan raya itu diadakan susulan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu.

Ia sekali gus memberi laluan untuk PRU 15 dilaksanakan selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada mesyuarat khas itu juga, SPR menetapkan 5 November ini sebagai tarikh penamaan calon manakala 15 November sebagai hari pengundian awal.

PRU 15 kali ini menyaksikan suasana berbeza berbanding edisi PRU sebelum ini tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak membubarkan DUN masing-masing.

Tindakan sama turut diambil oleh PAS apabila turut tidak membubarkan DUN di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Selain itu, DUN di Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak juga tidak dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor