JTDC CONNECT @ KULAI 2026 PERKUKUH EKOSISTEM PEMBANGUNAN BAKAT JOHOR
Oleh: Suhana Ariffin

YB Tuan V. Rugendran, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup JTDC Connect @ Kulai 2026 dan Penyerahan Geran Peralatan TVET di Dewan Besar KUYPJ. | Foto Johor Talent Development Council
#Kulai – Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) melalui Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) terus memperkukuh pendekatan strategik dan bersepadu menerusi pelaksanaan JTDC Connect @ Kulai 2026 bagi memperkasa ekosistem pembangunan bakat di negeri Johor.
Pelaksanaan program ini berasaskan tiga dimensi utama antaranya penguasaan Kecerdasan Buatan (AI), pembentukan jati diri serta meningkatkan kesiapsagaan pelajar dalam menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk memperoleh pekerjaan bergaji premium setelah menamatkan pengajian.
Melalui sumbangan SMI, KKJ menerima Geran Peralatan TVET bernilai RM1.02 juta bagi memperkasa kemudahan latihan serta meningkatkan pendedahan pelajar kepada teknologi dan peralatan yang relevan dengan keperluan semasa industri.
Bantuan turut disalurkan kepada Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan KUYPJ yang menerima peralatan pembelajaran bernilai RM10,000 daripada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) sekali gus memperkukuh sektor berkenaan yang berpotensi besar dalam menjana peluang pekerjaan khususnya bersempena Tahun Melawat Johor 2026.
Untuk rekod, komitmen Kerajaan Negeri dalam menyalurkan pelbagai inisiatif kepada anak Johor turut diterjemahkan menerusi Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) berjumlah RM477,600 serta Rebat Pinjaman Pelajaran dengan peruntukan sebanyak RM556,525.
Selain itu, sebanyak RM7.42 juta juga diperuntukkan bagi pinjaman pelajaran kepada pelajar KUYPJ bagi memastikan anak Johor terus mendapat akses kepada peluang pendidikan yang lebih baik.
Terdahulu, YB Tuan V. Rugendran, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup JTDC Connect @ Kulai 2026 dan Penyerahan Geran Peralatan TVET di Dewan Besar KUYPJ, baru-baru ini.
Hadir sama, YBhg. Tuan Haji Ts. Mohd Johari Tarmidi, Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO); YBhg. Tuan Haji Ts. Mohd Ekmaluddin Dato’ Ishak, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI); YBhg. Encik Fairuzahri Jalaluddin, Ketua Pegawai Strategik KPRJ dan YBhg. Encik Fayzul Dato’ Haji Omar, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
#JohorSafeZone
#JTDC
#KUYPJ
#SMI
#IDO
#TVET
#PembangunanBakatJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


