RANHILL SAJ SEDIA PELAN KONTINGENSI ATASI MASALAH AIR DI PARIT SULONG


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Ranhill SAJ bersetuju menyedikan pelan kontingensi bagi mengatasi masalah dihadapi. | Foto ehsan: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid

 

ISKANDAR PUTERI — Gangguan bekalan air terutama ketika musim perayaan Aidilfitri di kawasan Parlimen Parit Sulong, mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.

 

Susulan daripada perbincangan bersama Ranhill SAJ hari ini, masalah bekalan air yang mengganggu penduduk di DUN Semerah dan DUN Sri Medan sejak 21 April lalu, menemui penyelesaian.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Ranhill SAJ bersetuju menyedikan pelan kontingensi bagi mengatasi masalah dihadapi.

 

“Alhamdulillah hasil perbincangan kita, pihak Ranhill SAJ telah bersetuju untuk menyediakan pelan kontingensi dengan meletakkan 18 tangki penyimpaan air statik di kawasan ‘hotspot’ yang telah ditentukan bersama ketua-ketua kampung dan menggerakkan 10 lori tangki dengan kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Daerah Yong Peng.

 

“Semuanya akan digerakkan bermula hari ini. Jumlah tangki statik dan lori air akan ditambah mulai esok berdasarkan keperluan mendesak,” tulis beliau dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohd Fared yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam berkata, isu bekalan air dalam musim perayaan telah dibangkitkan oleh ADUN Sri Medan, Dato’ Zulkurnain Kamisan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah Batu Pahat pada 17 April lalu.

 

Ujarnya, beliau secara peribadi juga telah berhubung secara terus dengan Ranhill SAJ Batu Pahat agar dilaksanakan pelan penghantaran agihan air secara tersusun di Parlimen Parit Sulong.

 

“Susulan dan semakan kita buat setiap hari. Tapi rupanya masalah bekalan air masih berlaku. Bahkan melarat melibatkan hampir 8,000 akaun penduduk.

 

“Sebab itu, kita panggil mesyuarat hari ini. Terima kasih Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sangat prihatin dan mengarahkan perbincangan ini segera dibuat,” katanya.

 

Beliau memberitahu, akan ada perancangan jangka panjang bagi mengatasi isu bekalan air di kawasan parlimen tersebut, dengan membina tangki di Parit Sulong dan Parit Sangit.

 

“Tapi nak tunggu ia dibina, pasti makan masa. Jadi kita nak pelan jangka pendek ini termasuk jika perlu menjadualkan catuan air, mesti dibuat bagi membolehkan orang kampung kita menikmati bekalan air yang teratur sekalipun tidak sempurna di musim perayaan,” katanya.

 

Selain Ranhill SAJ, perbincangan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh; ADUN Sri Medan, Dato’ Zulkurnain Kamisan; wakil Pejabat Daerah Batu Pahat; penghulu mukim dan ketua kampung bagi kawasan yang terjejas.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor